Sign In
menu
TIMBALAN MENTERI (TENAGA) DI JABATAN PERDANA MENTERIYang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi Bin Haji Mohd Hanifah

TIMBALAN MENTERI JABATAN TENAGA DI JABATAN PERDANA MENTERI,

Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi Bin Haji Mohd Hanifah

 

Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah mempunyai kelulusan B.Eng (Hons) Chemical and Process Engineering dari University of Surrey, United Kingdom, dan memulakan kerjaya beliau di Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) sebagai Graduate Process Engineer pada tahun 1995. Beliau mempunyai pengalaman lebih dari 28 tahun dalam Industri Minyak dan Gas, termasuk pernah ditugaskan di Oman selama 4 tahun dan pernah memegang jawatan kanan selama 5 tahun di Kementerian Tenaga dan Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri. Di samping itu, beliau pernah berkhidmat selama hampir 2 tahun dengan sebuah syarikat Kontraktor Minyak dan Gas tempatan.

Semasa di BSP, Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi telah memegang beberapa jawatan dalam disiplin kejuruteraan sebagai Process Engineer, Offshore Campaign Engineer dan Front-End Engineer. Beliau juga telah mengetuai beberapa Jabatan Kejuruteraan seperti Corporate Front-End Engineering, West Asset Engineering, Onshore Engineering and Construction, dan Asset Engineering Design, yang antara lain berperanan melaksanaan projek-projek bernilai tinggi.

Pada tahun 2013 hingga 2018, Dato Seri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi telah diperbantukan sebagai Ketua Pembangunan Perniagaan Perkhidmatan Tenaga di Jabatan Tenaga, Jabatan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga & Industri), Setiausaha Tetap (Industri) dan Setiausaha Tetap (Tenaga & Industri). Beliau juga dilantik dalam pelbagai peranan di beberapa Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Badan Berkanun Kerajaan.

Beliau telah menyertai semula BSP pada tahun 2020 sebagai Pengarah Komersial. Pada tahun 2021, beliau dilantik menjadi Timbalan Pengarah Urusan BSP di samping tugas-tugas Pengarah Komersial beliau.

Pada 24 Oktober 2023, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan untuk melantik beliau sebagai Timbalan Menteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri.

Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan PERDANA MENTERIDayang Hajah Farida Binti Dato Seri Paduka Haji Talib

Setiausaha Tetap Jabatan Tenaga

Dayang Hajah Farida Binti Dato Seri Paduka Haji Talib

 

Dayang Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib menerima Ijazah Sarjana Muda dalam Systems Modelling daripada Sheffield Hallam University, United Kingdom, dan memulakan kerjaya beliau di Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP) pada tahun 1992.

Dayang Hajah Farida mempunyai lebih dari 30 tahun pengalaman dalam Industri Tenaga, merangkumi sektor Huluan dan Gas, dengan pengkhususan dalam bidang Komersial, Transformasi, Peralihan Tenaga dan Pendigitalan, termasuk pengalaman ditugaskan di Royal Dutch Shell selama 4 tahun sebagai Senior Gas Integration Advisor.

Pada tahun 2016, beliau dilantik sebagai Pengarah Komersial dan Korporat bagi Syarikat BSP, dan kemudian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan bagi Syarikat Brunei LNG Sendirian Berhad pada tahun 2020.

Pada 24 Oktober 2023, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan untuk melantik beliau sebagai Setiausaha Tetap (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri.

Timbalan Setiausaha (Tenaga) DI JABATANPERDANA MENTERIPengiran Haji Jamra Weira Bin Pengiran Haji Petra

Timbalan Setiausaha Tetap Jabatan Tenaga

Pengiran Haji Jamra Weira Bin Pengiran Haji Petra

 

Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Kuasa, IT dan E-Kerajaan) di Jabatan Perdana Menteri pada 5hb Ogos 2017 dan kemudiannya sebagai Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) pada 24hb November 2018. Beliau sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Perkhidmatan Elektrik sejak Jun 2016. Beliau telah menyertai perkhidmatan awam sejak tahun 1996.

Pengiran Haji Jamra Weira berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian Kelas pertama dalam jurusan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dari University of Glasgow pada tahun 1995. Beliau juga memiliki Ijazah Sarjana Sains, dalam jurusan Power Electronics and Drives dari University of Birmingham pada tahun 1996.